KUCHING: Orang ramai perlu sentiasa peka dengan sindrom lupa, leka dan lalai (3L) apabila meraikan sambutan hari perayaan, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Khirudin Drahman.

Menurutnya, berdasarkan siasatan kes yang meningkat baru-baru ini, kebanyakan punca kebakaran berlaku akibat sindrom 3L, atau yang terbaharu akibat perbuatan khianat.

“Oleh itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa peka terutama sekali penggunaan dapur memasak serta peralatan elektrik.

“Bagi pemasangan perkakas elektrik, ia perlu dilakukan dengan betul dan selamat malah pendawaian lama yang berpotensi menyebabkan litar pintas perlu diawasi,” katanya sambil menambah bahawa ia boleh menjadi punca kebakaran jika terlalu panas.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa langkah-langkah pengawasan dan pencegahan perlu dipandang serius demi keselamatan masing-masing.

“Orang ramai juga perlu bersedia dan memiliki pengetahuan untuk bertindak dengan cekap dalam menangani kebakaran kecil.

Khirudin menunjukkan alat-alat keselamatan yang perlu ada dalam sesebuah rumah

“Pengendalian kebakaran dalam tempoh lima minit pertama sangat kritikal kerana ia akan menentukan keadaan api sekiranya dapat dikawal atau tidak,” ujarnya lagi.

Beliau dalam masa yang sama menasihati orang ramai agar melengkapi rumah masing-masing dengan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api mudah alih.

Khirudin ketika menyampaikan nasihat kepada orang ramai berkaitan isu kebakaran

Suara Sarawak