KUCHING: Peminat sukan bulu tangkis diseru untuk menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Piala Sarawak Energy 2022 bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000.

Sarawak Energy Berhad menerusi kenyataan berkata, kejohanan yang dijadualkan bermula 20 Mei depan akan berlangsung di Dewan Persatuan Badminton, Lorong Lapangan Terbang.

“Format kejohanan secara liga kumpulan dan yuran pendaftaran adalah RM300.

“Manakala tarikh tutup penyertaan pada 11 Mei. Disusuli dengan sesi cabutan undi pada 18 Mei digelanggang terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Apa yang menariknya, kejohanan berpasukan ini menghimpunkan lima pecahan kategori iaitu Beregu Lelaki, Beregu Lelaki Novis, Beregu Lelaki Gabungan 90 tahun (umur 35 tahun ke atas), Beregu Lelaki Terbuka, Beregu Lelaki Veteran .

Hadiah bakal berupa wang tunai RM8,000, piala dan pingat menanti pasukan yang bergelar juara, manakala naib juara akan menerima wang tunai RM4,000 dan pingat.

Sementara, dua pasukan yang kandas diperingkat separuh akhir akan menerima wang tunai RM2,000 selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Dalam pada itu, juara bagi kategori Sarawak Energy Shield akan menerima wang tunai RM2,000, manakala naib juara akan menerima RM1,000.

Berbanding wang tunai RM500 untuk mereka yang tewas diperingkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Bagi juara kategori Sarawak Energy Plate pula akan menerima wang tunai RM500. Naib akan menerima RM300.

Maklumat lanjut mengenai kejohanan ini boleh didapati di laman web rasmi Sarawak Energy, www.sarawakenergy.com.

Suara Sarawak