Bazar Ramadan Samarahan: Tawar pelbagai juadah

KOTA SAMARAHAN: Bagi yang ingin mendapatkan pelbagai jenis juadah untuk berbuka puasa, dialu-alukan berkunjung ke bazar Ramadan di DUBS Uptown Desa Ilmu, di sini.

Medan selera berstatus sementara sepanjang bulan Ramadan ini menghimpunkan sekitar 120 peniaga dengan pelbagai pilihan menu menarik.

Sama ada kuih-muih tradisional masyarakat setempat dan makanan yang sering menjadi pilihan umum setiap kali bulan puasa, pelbagai minuman turut ditawarkan di bazar berkenaan.

Pengurus Bazar Ramadan DUBS Uptown Desa Ilmu, Azman Salleh berkata pusat jualan juadah itu beroperasi pada setiap hari bermula pada 2 petang hingga 7 malam dengan menampilkan juadah berbeza berbanding sebelum ini.

“Terdapat pelbagai jenis juadah dijual di bazar Ramadan kali ini, sekali gus mampu memenuhi keinginan pengunjung untuk mencari menu istimewa untuk berbuka puasa.

“Memang sukar untuk menggambarkannya kepada pengunjung yang pasti, luangkan masa anda walaupun dalam masa singkat untuk melihat menu yang dijual para peniaga di sini,” ujar Azman ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan DUBS Uptown Desa Ilmu.

Majlis tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.

Menurut Azman, harga bagi setiap menu yang terdapat di bazar berkenaan berpatutan dan pastinya pengunjung berpuas hati sebaik kembali ke rumah dengan menu yang dibeli mereka.

Azman menegaskan, sejak bazar tersebut mula beroperasi, kehadiran pengunjung saban hari ternyata luar biasa.

Namun, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan dengan memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pengunjung yang hadir tidak hanya dari kawasan sekitar Samarahan malah dari Kuching termasuk daerah sekitarnya,” tambah Azman.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak