KUCHING: Bekalan daging babi mencukupi untuk perayaan sambutan Hari Gawai yang akan datang, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Menurutnya, bagi menampung bekalan untuk memenuhi pasaran di Miri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) hanya membenarkan pergerakan daging babi dari Sibu, Samarahan dan Kuching untuk dihantar ke Miri.

“Namun, pergerakkan babi hidup ke kawasan tersebut untuk penyembelihan diberhentikan buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, para penternak babi juga diingatkan sekali lagi untuk memperketatkan biosekuriti ladang masing-masing untuk mengelak jangkitan Demam Babi Afrika (ASF) ini.

Beliau menambah, Sri Aman dan Serian baru-baru ini juga telah diistiharkan sebagai kawasan kawalan penyakit ASF.

Pada masa sama, babi yang terdapat di Kampung Mapu Kijabu serta Kampung Daha Kisau bahagian Serian turut disahkan positif ASF oleh makmal Veterinar Sarawak.

Terdahulu, virus tersebut turut dikesan di rumah sembelih Krokop Miri dan arahan penutupan dikeluarkan mengikut seksyen 25, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 sebagai langkah kawalan untuk menghalang perebakan penyakit.

Suara Sarawak