Lee bercakap kepada media tempatan selepas menghadiri mesyuarat pada Sabtu

MIRI: Bekalan daging khinzir segar bakal kembali normal pada minggu hadapan dengan pembukaan semula rumah penyembelihan Majlis Bandaraya Miri (MCC) Krokop pada Isnin (25 April).

Ia selepas hampir tiga minggu bekalan daging tersebut terjejas akibat penutupan rumah penyembelihan bermula 6 hingga 24 April lalu berikutan pengesanan virus Demam Babi Afrika (ASF).

Perkara itu disahkan oleh Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Datuk Lee Kim Shin selepas menghadiri mesyuarat dengan pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Bahagian Miri, semalam.

“Berdasarkan laporan pemeriksaan terkini yang dibentang semasa Mesyuarat Kesihatan dan Pematuhan Veterinar, jawatankuasa telah bersetuju membenarkan pembukaan semula bermula 25 April ini, ” katanya.

Jelas beliau, pembukaan semula premis penyembelihan ini tertakluk kepada pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan khinzir yang disembelih sihat dan selamat.

Sementara itu, DVS Miri mengesahkan sebanyak 904 haiwan daripada pelbagai kategori telah dimusnahkan dari ladang komersial di bahagian ini dari tempoh 9 Mac hingga 21 April tahun ini.

Tambahnya, lima ladang babi komersial berlesen telah ditutup dalam tempoh sama untuk mencegah penularan ASF.

Sementara itu, Lee juga menggesa ladang babi tidak berlesen memohon lesen daripada DVS Bahagian Miri dengan bayaran pemprosesan hanya RM10, manakala yuran tahunan RM50 sahaja.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak