SIBU: Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu berjaya merampas sebanyak 357 kotak pelbagai jenis bunga api yang dianggarkan bernilai RM150,500.

Pegawai Memerintahnya Superintendan Mohammad Hafiz Kadir berkata, rampasan dibuat di sebuah premis di Lorong Ding Lik Kong 31A4.

“Pada kira-kira jam 11.45 pagi, Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu yang diketuai oleh seorang pegawai bersama sembilan anggota telah membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah premis Lorong Ding Lik Kong 31A4 kerana disyaki dijadikan tempat penyimpanan bunga api dan mercun.

“Hasil serbuan di lokasi berjaya merampas 52 kotak bunga api pelbagai jenis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang berada di premis berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya bunga api dan mercun itu dipercayai untuk dipasarkan di kawasan Sibu dan daerah yang berdekatan sempena perayaan Hari Raya dan Hari Gawai akan datang.

Mohammad Hafiz berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kesemua rampasan dan tangkapan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, Batalion 10 PGA Sibu telah berjaya membuat sebanyak 10 kejayaan operasi dengan menahan seramai 13 orang yang disyaki dan merampas pelbagai jenis barangan seperti rokok dan minuman keras jenis bir tanpa cukai, kayu balak dan minyak diesel bersubsidi dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM3.3juta.

Justeru, Hafiz menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban di pasaran melalui talian hotline 084-211411 Pejabat Risik Batalion 10 PGA Sibu.

Hafiz (tengah) ketika sidang media berkenaan rampasan tersebut.

 

Lori muatan mercun dan bunga api yang dirampas.

 

Mercun dan bunga api yang disimpan dalam premis terbabit.

Suara Sarawak