DALAM KENANGAN….Allahyarham Wan Paridon Wan Abang (duduk kiri sekali) ketika mewakili Sarawak suatu ketika dahulu.

KUCHING: Peminat sukan Sarawak hari ini berduka atas kehilangan Wan Paridon Wan Abang, 53, seorang bintang legenda sukan sepak takraw Sarawak.

Bekas pemain Sarawak era 90-an itu meninggal dunia di rumah sewanya yang terletak di Bandar Baru Semariang sekitar jam 7, pagi tadi.

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Fudin Chee berkata amat terkejut dan turut berduka cita sebaik menerima perkhabaran berita menyedihkan itu.

“Satu kehilangan besar buat dunia sukan sepak takraw Sarawak dengan pemergian allahyarham,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Tambahnya, allahyarham merupakan antara pemain apit kanan terbaik yang pernah dilahirkan di Bumi Kenyalang.

“Anak jati kelahiran Sebuyau itu antara nama besar yang sering mewakili Sarawak dalam kejohanan berprestij di peringkat kebangsaan sepanjang kariernya,” jelasnya.

Fudin mewakili badan induk PSS turut mengucapkan takziah buat keluarga allahyarham.

Suara Sarawak