SEMAKAN status permohonan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 boleh dilakukan bermula 9 April lalu.

Manakala tarikh pembayaran akan dibuat bermula 20 April ini.

Meskipun permohonan pengeluaran khas KWSP telah dibuka pada 1 hingga 30 April ini, jangan tunggu saat-saat akhir untuk memohon.

Tahukah anda, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia?

Ya, ini kerana KWSP ditubuhkan pada tahun 1951 dan merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik.

Terbaharu, ia telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh.

Jadi, bagaimana hendak menjadi pencarum dan siapa yang layak?

Pencarum ialah individu yang bekerja, pemilik perniagaan dan individu bekerja sendiri boleh memilih untuk mencarum berdasarkan keperluan mereka

Maka sebagai ahli, anda bukan sahaja layak menikmati dividen tahunan bagi simpanan persaraan anda, tetapi terdapat banyak kemudahan dan pilihan pengeluaran serta faedah yang diperoleh apabila menjadi ahli KWSP.

Simpanan KWSP adalah simpanan untuk hari persaraan dan simpanan ini terdiri daripada caruman bahagian pekerja dan majikan serta ditambah oleh dividen tahunan setiap tahun.

Bagaimanapun, pengeluaran wang KWSP bukan seperti pengeluaran di bank yang boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana ada syarat yang wajib dipatuhi.

Jika syarat tersebut tidak dipenuhi, anda tidak dapat membuat sebarang pengeluaran meskipun itu wang anda.

Dalam hal ini, pengeluaran sebahagian wang KWSP antaranya hanya boleh dilakukan apabila umur mencecah 50 tahun, untuk pendidikan, beli rumah, bina rumah, haji, kesihatan, mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan, ansurans bulanan pinjaman perumahan, perumahan fleksibel, perumahan PR1MA, dan simpanan melebihi RM1 juta.

Manakala, pengeluaran penuh pula ialah pencarum berumur 55 tahun, umur 60 tahun, pekerja berpencen dan pesara pilihan, hilang upaya, meninggalkan negara dan kematian.

Sama ada kita sedar atau tidak, apabila wabak Covid-19 melanda negara pada dua tahun lalu, kerajaan telah membenarkan wang simpanan dalam KWSP ini dikeluarkan.

Antaranya ialah melalui i-Lestari iaitu pencarum boleh mengeluarkan minimum RM50 dan maksimum RM500 sebulan dari Akaun 2 sehingga maksimum 12 bulan.

Kedua ialah i-Citra dengan amaun pengeluaran yang boleh dikeluarkan sehingga maksimum RM5,000 dan bayaran bulanan akan dibuat sehingga lima bulan.

Secara keseluruhan pelaksanaan i-Citra menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

Manakala i-Sinar adalah inisiatif untuk membolehkan ahli mengeluarkan wang simpanan mereka dalam akaun satu.

Ahli dengan simpanan kurang atau sama dengan RM100,000 dalam akaun satu boleh mengeluarkan wang sehingga RM10,000, tertakluk kepada baki simpanan.

Dan, pengeluaran terkini ialah pula digelarkan Pengeluaran Khas KWSP.

Akibat Covid-19, ramai pencarum membuat keputusan untuk mengeluarkan wang KWSP masing-masing meskipun mengetahui wang tersebut merupakan akaun persaraan pada hari tua.

Setiap orang mempunyai alasan tersendiri mengapa berbuat demikian antaranya desakan hidup, kehilangan mata pencarian, hutang yang menimbun dan sebagainya.

Bagaimanapun, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) merupakan antara pihak yang tidak menyokong pengeluaran wang KWSP.

Mengapa? Menurutnya, skim pengeluaran yang dimulakan kerajaan sebelum ini iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, walaupun dapat memberikan sedikit bantuan kewangan, telah menyebabkan pengurangan dana persaraan yang kritikal bagi sebahagian besar ahli KWSP.

Oleh itu, ini perkara yang harus kita sebagai pencarum fikirkan.

Adakah anda sangat memerlukan wang dari akaun persaraan itu hari ini?

Meskipun anda mempunyai hak untuk mengeluarkan wang simpanan dana persaraan masing-masing, namun anda juga harus fikir kehidupan masa depan terutamanya pada hari tua kelak.

Tidak dinafikan ada sesetengah orang apabila mempunyai sejumlah wang dalam tangan, wang tunai itu boleh umpama seperti air yang mengalir.

Sikap boros sesuatu budaya yang sukar dikikis dalam diri setiap manusia.

Namun, wang tersebut sebenarnya boleh berganda jika ia bijak digunakan seperti melabur.

Apa-apa pun jika anda mengeluarkan wang dari KWSP, gunakan itu sebaik mungkin.

Suara Sarawak