MUKAH: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menggesa pengusaha sarang burung walit di kawasan bandar untuk mencari tempat lain jauh dari bandar dan berpindah secara sukarela bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton berkata, sekiranya diusahakan di kawasan bandar, akan berlaku kekotoran dan gangguan bunyi bising muzik burung.

“Cari kawasan tanah pertanian lain untuk meneruskan perusahaan penternakan sarang burung ini.

“Namun malangnya melalui perkongsian oleh peserta dalam sesi dialog kita pada hari ini (semalam), mendapati pada 2015 jumlah burung di Mukah telah berkurangan kerana sumber makanan burung ini sudah kurang dan terlalu banyak rumah burung dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak selepas mempengerusikan Majlis Dialog SFC dengan Persatuan Perdagang Sarang Burung Bahagian Mukah di sini, semalam.

Menurutnya, kelangsungan operasi perusahaan sarang burung ini bertitik tolak daripada faktor alam sekitar dan keadaan perniagaan yang menerapkan amalan alam sekitar kini.

“Sekiranya kita merosakkan alam, burung walit tidak akan datang. Ada juga cadangan diadakan langkah untuk menarik burung ini datang… ia jauh berbeza berbanding haiwan lain seperti lembu dan kambing kerana burung ini hidupan bebas,” katanya

Katanya, perubahan iklim dunia menjadikan betapa pentingnya memastikan alam sekitar terus mapan walaupun dalam persekitaran berniaga kini, alam sekitar menjadi keutamaan.

“Sebab itulah kini setiap badan korporat digalakkan untuk membuat tadbir urus sosial persekitaran (ESG).

Tiga perkara ini mesti seiring dan keutamaan perlu kepada alam sekitar.

“Kalau tidak, kesannya, hari-hari kita akan panas, hutan terbakar, hutan kering,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan lesen sarang burung walit juga penting agar industri ini mendapat pengiktirafan yang sah di peringkat antarabangsa.

“Sekiranya ada pihak yang mempertikai pensijilannya suatu hari nanti, ia akan menentukan pengusaha itu berlesen atau tidak,” tambahnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton

Suara Sarawak