SIBU: Tindakan pantas pihak bomba berjaya menyelamatkan nyawa seorang wanita yang dipengaruhi alkohol daripada mati lemas selepas dia bertindak terjun ke sungai Batang Rajang pada awal pagi hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian yang berlaku di Jalan Maju itu pada jam 3.20 pagi.

“Setibanya di lokasi pasukan bomba, melakukan ‘size up’ dan didapati ada seorang mangsa wanita telah terjun ke Sungai Batang Rajang.

“Keadaan paras air Sungai Batang Rajang sedang surut ketika itu,” katanya.

Susulan itu, katanya pasukan bomba melakukan operasi penyelamatan, turun ke tebing sungai dengan menggunakan tali menyelamat.

“Pasukan bomba yang sampai di tebing sungai mendapati wanita berusia 24 tahun itu masih dalam keadaan pengaruh alkohol dan hanya mengalami cedera ringan sahaja.

“Anggota bomba memasang ‘Full Body Harnes’ kepada mangsa dan seterusnya menarik mangsa naik ke atas pada paras ketinggian tiga meter dari tebing sungai dengan selamat.

“Mangsa kemudian mendapat rawatan awal dan seterusnya mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut jurucakapnya lagi, operasi ditamatkan pada jam 3.50 pagi yang disertai oleh tujuh anggota bomba diketuai komander operasinya PBK II Norman Matu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah.

Aset yang digunakan pasukan bomba tersebut ialah sebuah jentera Scania dan ERMS.

Turut berada di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Suara Sarawak