KUCHING: Sebuah bot nelayan tempatan yang dikemudi empat lelaki disyaki warga asing ditahan kerana menjalani aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan, berjarak 9 batu nautika pesisir pantai Lakei, semalam.

Bot nelayan jenis pukat yang dinaiki kesemua individu terbabit dikesan oleh Botronda PA1 Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPM W5) sekitar jam 7.30 pagi ketika sedang melakukan rondaan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPM W5) Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali berkata, semua individu yang berusia 19 hingga 42 tahun dan beralamat di negara Indonesia itu dipercayai awak-awak dan tekong bot.

“Bot tersebut didapati hanyut di kedudukan Lat 01*51.861 ‘N Long 110*36.844 ‘E dan sedang menjalani aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat hanyut.

“Tindakan bot itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat-syarat lesen dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan atau jarak tidak dibenarkan,” katanya, semalam.

RAMPAS…Bot nelayan yang dikesan berada di kawasan perairan larangan negara dirampas

Tambahnya, kesemua awak-awak termasuk tekong beserta bot telah dibawa ke jeti PPM W5 Kuching untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, antara yang dirampas termasuk bot serta peralatan menangkap ikan bernilai RM170,000.

Turut dirampas katanya, ikan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM15,000, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM185,000.

Ujarnya, kes tersebut seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan Kuching untuk tindakan lanjut.

TAHAN…Empat lelaki iaitu awak-awak dan tekong ditahan bagi siasatan lanjut

Suara Sarawak