KUCHING: Padah mengugut membunuh adik kandung sendiri, seorang buruh kasar dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad, 39, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap adiknya berusia 36 tahun.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Haji Baki, kira-kira jam 2 petang, 27 Januari lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, tertuduh telah mengamuk cuba membaling pengadu dengan besi dan jarum jahit kasut.

Tertuduh juga menggeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh pengadu dan memecahkan cermin kereta.

Punca kejadian, kerana tertuduh enggan menerima teguran pengadu kerana sering meminta wang daripada ibu bapa mereka.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Sementara itu, di majistret yang sama bagi pertuduhan lain, dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, dua tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, dia mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine di kediamannya di Kampung Haji Baki, sekitar jam 4.57 petang, 30 Julai 2020.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Zaiton Anuar menetapkan tertuduh dibawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Azmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Suara Sarawak