KUCHING: Cadangan untuk menaik taraf Masjid Darulhana Patingan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok akan dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Adun Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, meskipun Premier Sarawak sudah mengetahui cadangan itu, namun perbincangan lanjut termasuk kos perlu diteliti sekali gus mendapat persetujuan daripada beliau.

Katanya, apabila projek itu berjaya direalisasi, ia akan menjadi mercu tanda di kawasan Satok.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya bangga kerana ia menjadikan Masjid Darulhana Patingan antara masjid yang canggih kerana dilengkapi pelbagai kemudahan terkini.

“Setelah melihat tayangan video cadangan projek naik taraf itu, saya teruja melihat kemudahannya yang serba lengkap termasuk apartment, dewan serbaguna, perpustakaan, kafe dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Ihsan Ramadan di Masjid Darulhana Patingan, Jalan Datuk Ajibah Abol, di sini malam tadi.

TERIMA KASIH…Datuk Ibrahim merakam kenang-kenangan bersama-sama penerima Program Ihsan Ramadan di Masjid Darulhana Patingan, Kuching.

Suara Sarawak