KUCHING: Dua rakan dikenakan hukuman Perintah Kehadiran Wajib selama dua bulan dan bon jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri 20 kilogram ayam.

Muhamad Fuad Abdul Razak, 33 dan Razak Alli, 48, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama kerana mencuri dua beg plastik daging ayam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di CCK Freshmart, Jalan Gambir, di sini, kira-kira jam 6.30 pagi, 4 April lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, semasa kejadian pengadu yang merupakan pekerja premis tersebut menyedari dua orang lelaki telah mengambil dua beg plastik seberat 20 kilogram mengandungi ayam yang telah dipotong tanpa membuat sebarang pembayaran.

Ketika kejadian, kedua-dua suspek membawa barang tersebut melarikan diri menuju ke Tebingan Sungai Kuching.

Pengadu kemudian, mengejar dan berjaya menahan salah seorang daripada mereka beserta sebungkus ayam yang dicuri. Manakala, seorang lagi berjaya ditangkap oleh rakan pengadu.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh menggaku mencuri ayam di kedai tersebut kerana terdesak untuk menyara ahli keluarga serta tidak mempunyai seberang pekerjaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak