KUCHING: Seramai 40,543 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac 2022 dan pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau status diminta untuk menyemak nama mereka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mereka boleh menyemak nama masing-masing dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mac Tahun 2022 (DPT BLN3/2022).

“Senarai ini telah diperaku pada 14 April 2022 dan diwartakan pada hari ini dengan semakan turut dibuka mulai 15 April hingga 14 Mei 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, DPT BLN3/2022 mengandungi 40,543 nama yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 12,286 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 5,019 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi.

“Sekiranya didapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN3/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berkenaan.

“Sementara pemilih yang membuat semakan dan berhasrat membantah kemasukan nama pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat PRN,” ujarnya.

Tambahnya, SPR turut menyediakan lima kaedah semakan iaitu menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my, aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

 

Suara Sarawak