KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak memperkenalkan program dana bantuan dialisis bernilai RM1,500 untuk pesakit buah pinggang di kawasan Parlimen Bandar Kuching dan Stampin.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, program tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pesakit itu menyasarkan sekitar 100 orang pemohon.

““Bagi syarat kelayakan, pemohon hendaklah pesakit yang menjalani dialisis dan merupakan penduduk kawasan Parlimen Bandar Kuching atau Stampin dengan pendapatan isi rumah kurang RM5,000 serta menerima rawatan dialisis daripada badan bukan kerajaan (NGO) atau kemudahan swasta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin dan Adun Padungan menambah, kelulusan diberi keutaman kepada 100 orang pemohon pertama yang memenuhi syarat kelayakan.

“Mereka yang layak boleh datang ke ibu pejabat DAP di Kuching atau mana-mana pusat khidmat untuk membuat permohonan.

“Bawa lima dokumen penting iaitu kad pengenalan, rekod perubatan, surat pengesahan daripada pusat dialisis atau sebarang bukti sedang menerima rawatan tersebut, dokumen untuk membuktikan pendapatan dan penyata bank,” jelasnya.

Chong pada sidang media, di Kuching, hari ini.

Suara Sarawak