SARIKEI: Lapan daripada 12 unit deretan rumah kedai di Kawasan Perindustrian Nyelong di Jalan Green di sini terbakar, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, kebakaran yang bermula dari tingkat atas blok kedai dua tingkat itu merebak dengan cepat.

Beliau menjelaskan ini kerana blok itu kebanyakannya menempatkan bengkel mekanikal yang dipenuhi dengan banyak barangan mudah terbakar seperti bekas plastik, tayar, pelincir dan produk petroleum.

Selain itu, katanya, kebanyakan struktur dalaman kedai-kedai lama diperbuat daripada bahan kayu.

Sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 malam, beliau berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei telah digerakkan ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 2km dari sini.

“Anggota bomba menggunakan air yang diperoleh dari pili bomba berdekatan dan dipam dari longkang berdekatan untuk memadamkan api yang marak.

“Anggota bomba menggunakan lori skylift yang dipinjam untuk mengawal kebakaran.

“Mereka juga menggunakan buih untuk mengawal api yang diburukkan lagi oleh petrol,” katanya dalam kenyataan.

Katanya seorang pemilik kedai membenarkan anggota bomba menggunakan dua kren lori skylift untuk memudahkan operasi, terutamanya bagi mengawal api daripada merebak ke tingkat atas.

Mahmudin berkata, operasi tamat pada jam 2.50 pagi.

Tambah beliau, punca kebakaran dan kerugian masih belum dapat dipastikan kerana siasatan oleh agensi berkaitan masih dijalankan.

Suara Sarawak