KUCHING: Seorang lelaki berusia 43 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas satu pertuduhan mencederakan seorang pekerja syarikat ansuran mudah menggunakan sebilah pisau, pada 3 April lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Padilah Etom, 43, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mencederakan Wan Mohamad Saifulbahtiar, 42, menggunakan alat pemotong iaitu sebilah pisau.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan kedai syarikat ansuran mudah di Jalan Astana, kira-kira jam 3.30 petang, 3 April lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan.

Zubaidah menetapkan sebutan semula kes pada 31 Mei depan.

Difahamkan, semasa kejadian tertuduh telah bertengkar dengan pengadu kerana tidak berpuas hati pengadu sering meminta bayaran hutang peti sejuk yang dibeli bekas isterinya.

Tertuduh yang dalam keadaan marah telah menggunakan pisau yang dibawanya lalu mengacukan ke arah pengadu sehingga menyebabkan pergelutan berlaku.

Akibat daripada pergelutan, pengadu mengalami kecederaan luka calar di bahagian rusuk kiri, dan lutut sebelah kiri.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak