KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman denda RM5,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 6.10 gram.

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan tertuduh Hieng Hock, 39, yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) Akta yang sama untuk dipenjarakan empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Dia didakwa memiliki bahan terlarang itu di ruang tamu tingkat satu sebuah rumah di Highfields Phase 1, Jalan Batu Kawa, kira-kira jam 9.50 pagi, 5 Januari lalu.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak telah menahan seorang lelaki di sebuah rumah kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah.

Hasil pemeriksaan di ruang tamu tingkat satu rumah tersebut menjumpai tujuh paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak