KUCHING: Padah memiliki harta curi sebuah motosikal, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Azman Rusian Majah, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki harta curi sebuah motosikal milik Dinang Umpoh, 38, di sebuah rumah di Jalan Semariang, kira-kira jam 7.50 pagi, 6 April lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zaiton Anuar menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 6 April lalu.

Berdasarkan fakta kes, pada 15 Oktober tahun lalu, sekitar jam 9.40 pagi, anak pengadu yang hendak menyimpan motosikal ke tempat simpanan mendapati motosikal itu telah hilang dicuri orang tidak dikenali.

Sementara pada 6 April lalu, pengadu bersama-sama sepasukan polis telah membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Semariang dan berjaya menahan seorang lelaki serta merampas sebuah motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Siasatan lanjut, mendapati tertuduh memiliki motosikal yang dilaporkan hilang pada Oktober tahun lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak