Karim (tiga dari kiri) bersama wakil DTTG tiga terbaik dalam Majlis Anugerah Majlis Anugerah Video Promosi DTTG Sarawak 2022 di Imperial Hotel

KUCHING: Pasukan Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) digesa untuk mengambil inisiatif merancang dan melaksanakan pelbagai acara pada kadar segera susulan pembukaan semula sempadan negara kepada pelawat antarabangsa bermula semalam.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia mengambil kira fungsi sebenar pasukan yang ditubuhkan di setiap bahagian Sarawak itu agar penyampaian maklumat, perkhidmatan atau polisi semasa industri dapat disampaikan terus kepada semua pemegang taruh atau kumpulan sasar.

Menurutnya, penularan wabak Covid-19 yang melanda negara pada awal tahun 2020 menyebabkan Sarawak hanya merekodkan 1.19 juta ketibaan pelawat berbanding 4.66 juta orang pada tahun 2019.

“Kita ingin menyaksikan Sarawak kembali aktif dalam penganjuran acara bertaraf dunia secara fizikal seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RMMF) dan Festival Borneo Jazz.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua DTTG agar mengambil inisiatif untuk merancang dan melaksanakan pelbagai pesta dengan segera melalui bantuan serta peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Video Promosi DTTG Sarawak 2022 di Imperial Hotel, malam tadi.

Sementara itu, DTTG Sarikei muncul sebagai juara selepas penerbitan video milik pasukan itu berjaya menambat hati para juri profesional, diikuti naib johan disandang oleh pasukan DTTG Mukah manakala DTTG Samarahan menduduki tempat ketiga pertandingan.

Sementara itu, kategori idea asal terbaik milik DTTG Miri, kategori informatif terbaik dimenangi kumpulan DTTG Kuching, kategori video harapan dimenangi DTTG Bintulu, video pilihan juri dimenangi Sibu manakala anugerah khas diungguli DTTG Serian.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak