KUCHING: Dua buah kereta yang diparkir di sebuah rumah di Taman Malihah, Matang musnah terbakar pada awal pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kira-kira jam 4.45 pagi dan segera mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 5.20 pagi, didapati api telah dipadamkan oleh penghuni kediaman (pemilik) tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya kebakaran melibatkan dua buah kereta iaitu Perodua Bezza dan Axia, yang musnah kira-kira 80 peratus dan struktur rumah atau tempat pakir kereta berkenaan turut terbakar 30 peratus.

“Pasukan bomba hanya membuat pemeriksaan dan kerja-kerja overhaul.

“Setelah mendapati keadaan terkawal dan selamat, operasi tamat pada jam 5.34 pagi,” katanya.

Keadaan kereta yang musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi hari ini.

Suara Sarawak