Superintendan Maria Rasid

KUCHING: Dua wanita berputih mata apabila kerugian RM314,000 selepas diperdaya penipuan Macau Scam dalam dua kes berasingan pada awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata, kes pertama membabitkan seorang penjawat awam berumur awal 40-an dari Daerah Miri yang mengalami kerugian berjumlah RM140,000 pada 8 April lalu.

Katanya, kejadian menimpa mangsa bermula pada 14 Januari lalu apabila menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang memperkenalkan diri sebagai Mastura dari syarikat insuran takaful.

“Mangsa dikatakan membuat tuntutan insuran takaful dan telah diluluskan oleh ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, namun telah dinafikan oleh mangsa.

“Mangsa kemudian diarahkan menyerahkan nombor akaun bank kepada suspek dan panggilan kemudiannya disambung kepada suspek yang menyamar sebagai anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maria berkata, mangsa kemudian dikatakan terlibat dengan pengubahan wang haram dengan RM2 juta telah dimasukkan ke akaun bank mangsa.

“Mangsa kemudian telah diarahkan suspek untuk membuka akaun bank baharu dan memberikan nombor akaun, nombor kad ATM serta mendaftarkan perbankan dalam talian atas nombor telefon yang diberikan suspek.

“Akibat panik dan cemas, mangsa telah memasukkan wang pinjaman bank, gadaian barangan kemas dan wang simpanan miliknya berjumlah keseluruhan RM140,000 ke dalam akaun bank yang baharu dibuka sebagai wang jaminan bagi menyelesaikan kes tersebut antara 18 Februari hingga 28 Mac lalu,” jelasnya.

Katanya, mangsa mula menyedari telah ditipu apabila mendapati wang dari akaun bank hilang dan nombor yang diberikan oleh suspek untuk mendapatkan kembali wang miliknya gagal dihubungi.

Dalam kes berasingan Maria berkata, seorang juruwang syarikat swasta di Daerah Mukah mengalami kerugian RM174,000 pada 9 April lalu ditipu sindiket menyamar sebagai pihak Pos Laju Kuala Lumpur dan pihak polis.

Katanya, mangsa berumur lewat 20-an telah menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan tidak dikenali mengatakan dari pejabat Pos Laju Kuala Lumpur pada 7 April lalu.

“Suspek mendakwa terdapat barangan kiriman mempunyai kad pengenan dan kad kredit milik mangsa tidak dituntut.

“Panggilan telefon kemudian disambung kepada Suspek yang menyamar sebagai Inspektor Kho yang kemudian mengatakan nama mangsa telah digunakan untuk membuka akaun yang terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.

“Akibat panik dan keliru, mangsa kemudian telah membuat pembayaran melalui 31 kali transaksi pemindahan wang berjumlah melebihi RM174,000 ke empat akaun bank atas individu tidak dikenali antara 7 April hingga 9 April 2022,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mula menyedari telah ditipu apabila suspek masih menghubunginya dan meminta bayaran tambahan.

Suara Sarawak