DUN Mambong kini milik PBB

KUCHING: Konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong yang secara tradisi dimiliki oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kini kepunyaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

ADUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil berkata ia sudah ditetapkan oleh Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lepas, yang menyaksikan PBB memenangi 47 kerusi termasuk Mambong.

“DUN Mambong sekarang adalah milik PBB, tiada lagi ragu-ragu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penubuhan Ranting Kampung Semadang, PBB N.19 Mambong di D’Redian, Kampung Semadang malam tadi.

Sehubungan itu, Jerip yang juga Menteri Muda Pengangkutan berkata SUPP tidak dapat lagi menuntut kerusi itu kerana ia sudah menjadi milik PBB.

“Memang sebelum PRN-12 banyak pergelutan berlaku di DUN Mambong tetapi akhirnya Premier (Abang Johari) menetapkan DUN Mambong untuk ditandingi oleh PBB dengan calon adalah saya sendiri.

“Selepas berjaya mempertahankan kerusi maka Premier memutuskan DUN Mambong milik PBB, jadi SUPP tidak dapat menuntutnya lagi,” katanya.

Dengan itu, DUN Mambong, DUN Tarat dan DUN Serembu di bawah Parlimen Puncak Borneo kini dimiliki penuh oleh PBB, salah sebuah parti komponen dan tunjang kepada GPS.

Sebelum ini, DUN Mambong adalah satu-satunya konstituensi dalam Parlimen Puncak Borneo yang dimiliki oleh SUPP manakala DUN Tarat, DUN Serembu termasuk Parlimen Puncak Borneo adalah milik PBB.

DUN Mambong kemudian menjadi antara kerusi panas pada PRN-12 lepas, selepas kerusi tradisi SUPP itu ditandingi oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ini susulan tindakan Jerip menyertai PBB, selepas keluar dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), yang juga parti serpihan SUPP.

Jerip menyandang kerusi DUN Mambong sejak PRN 2001 ketika menyertai SUPP dan diletakkan sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) Sarawak pada PRN 2016, ketika beliau menyertai Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang kini dikenali sebagai PSB.

Jerip kemudian berjaya mengekalkan kerusi Dun Mambong dengan meraih majoriti 3,071 undi selepas memperoleh 5,865 undi dalam pertanding lima penjuru di Dun Mambong.

Beliau menewaskan calon PSB Sanjan Daik yang memperoleh 2,794 undi, calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chang Hon Hiung memperoleh 1,517 undi manakala Joshua Roman daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) memperoleh 958 undi dan calon Aspirasi, Chong Siew Hung memperoleh 144 undi.

Suara Sarawak