Duta Komuniti Keluarga Malaysia bantu sebar maklumat sahih, benar

SIMUNJAN: Penganjuran Program Taklimat Isu Semasa Komuniti Keluarga Malaysia oleh Jabatan Penerangan adalah tepat masanya bagi memperluaskan maklumat tepat dan sahih mengenai isu semasa serta pelaksanaan dasar-dasar baharu kerajaan.

Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program seumpama ini penting dalam menjadikannya sebagai platform untuk menjelaskan perkara-perkara yang perlu diketahui umum.

Menurutnya, pada zaman pemodenan ini amat sukar untuk mencegah penyebaran berita-berita palsu selepas wujudnya platform media sosial.

“Justeru program sebegini amat penting, malah hal ini boleh kita pelajari semasa pucuk pimpinan kerajaan pusat bertukar dahulu sehingga menjejaskan pelbagai manfaat yang sepatutnya diterima rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sekali gus merasmikan program tersebut di Dewan Serbaguna Kampung Nanas, Simunjan, hari ini.

Program tersebut disertai lebih 50 peserta yang terdiri daripada Ketua Kaum, Ketua Kampung dan juga penduduk kampung di sekitar kawasan Kampung Nanas.

Majlis turut disambung dengan pengagihan bumbur lambuk oleh Nancy dan ditemani Adun Simunjan Awla Idris kepada para peserta dan penduduk kampung.

SEBAR…Nancy (dua dari kanan) bersama Awla (tiga dari kiri) menyempurnakan masakan bubur lambuk sebelum diserahkan dan disebarkan kepada orang ramai

Suara Sarawak