KUCHING: Seorang bekas peniaga mi kolok terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memutuskan melepas dan membebaskannya daripada satu pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 76.5 gram, pada tahun 2020.

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab memutuskan untuk membebaskan tertuduh Chester , 25, selepas memberi keputusan di akhir kes pembelaan.

Dalam masa yang sama, tertuduh turut dilepas dan dibebaskan atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 40.04 gram dan 211.05 gram dadah Ketamine.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 39(b)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) ADB 1952.

Jika sabit kesalahan, boleh di hukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak digantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sementara dua pertuduhan memiliki dadah dibuat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, ia didakwa dilakukannya di hadapan sebuah kedai di BDC, di sini, kira-kira jam 4.50 petang pada 18 Februari 2020.

Sebelum membuat keputusan, Hakim Dr Alwi berkata, pada hari tertuduh ditangkap, dua orang lelaki telah melarikan diri dari tempat kejadian.

Selain itu, hujah dari pihak pendakwaan juga mendedahkan tiada pemerhatian dilakukan sebelum serbuan pada hari kejadian sekitar jam 4.50 petang itu.

Oleh hal demikian, pihak pendakwaan tidak dapat memastikan bagaimana kedua-dua lelaki tersebut berada di tempat kejadian.

Seramai lima orang saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan telah dipanggil untuk memberi keterangan kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ronie Entili.

Hakim Dr Alwi turut memaklumkan terdapat percanggahan keterangan antara saksi bagi kes tersebut semasa perbicaraan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dadah jenis Ketamine seberat 778.1 gram.

Majistret Zaiton Anuar menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan mula menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 18 Februari 2020.

Edar dadar, bekas peniaga mi kolok terlepas hukuman gantung

Suara Sarawak