Mangsa yang cedera diusung keluar dari lokasi kejadian di bawa ke Lapangan Terbang Mulu untuk menerima rawatan di Miri.

MIRI: Empat lelaki mengalami kecederaan selepas terjatuh dari jambatan yang runtuh ketika membuat pemeriksaan tapak di sebuah pusat peranginan di Mulu, di sini semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan dari kakitangan Mulu Marriot Resort dan Spa berhubung insiden berkenaan kira-kira jam 3 petang membabitkan dua pekerja pusat peranginan dan dua kakitangan Samling.

“Setibanya di lokasi, tiga orang mangsa telah di bawa naik ke atas dan dihantat ke Lapangan Terbang Mulu untuk diterbangkan ke Miri menggunakan helikopter Samling oleh kakitangan Mulu Marriot.

Jambatan kayu di sebuah pusat peranginan di Mulu runtuh ketika kakitangan pusat peranginan dan Samling membuat pemeriksaan tapak.

“Manakala seorang lagi mangsa dipindahkan menggunakan pengusung oleh pihak bomba kerana beliau mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan kaki sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihak bomba memindahkan mangsa menggunakan Perahu dan seterusnya kenderaan pacuan empat roda untuk dihantar ke Lapangan terbang Mulu untuk diterbangkan bersama tiga mangsa yang lain ke Miri bagi menerima rawatan lanjut.

“Pihak KKM Mulu juga telah membuat pemeriksaan dan rawatan awal untuk kesemua mangsa,” jelasnya.

Katanya, kesemua empat mangsa telah berjaya diterbangkan ke Miri menggunakan helicopter Samling.

Operasi ditamatkan pada jam 6 petang.

Mangsa di bawa masuk ke dalam helikopter dan diterbangkan ke Miri untuk rawatan lanjut.

Suara Sarawak