PADAWAN: Polis menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 29 hingga 41 tahun bersama-sama dadah jenis syabu seberat 5.35 gram dengan anggaran nilai sekitar RM450.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua individu terbabit ditangkap pada serbuan di tepi jalan berhadapan sebuah bangunan berdekatan Jalan Batu Kawa.

“Pemeriksaan awal ke atas keempat-empat suspek tidak menjumpai barangan yang menyalahi undang-undang.

“Bagaimanapun, satu paket plastik lutsinar sederhana besar dan kecil berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu berjaya ditemui dalam bekas tin kecil di tempat kesemua suspek tersebut duduk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keempat-empat suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine melalui keputusan ujian saringan awal.

“Sementara salah seorang suspek pernah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 bagi siasatan lanjut,” tambahnya.

Dalam pada itu, ujarnya kesemua suspek tidak membuat pengakuan terhadap dadah yang dirampas, justeru maklumat lanjut akan diperoleh dalam tempoh reman.

Bekas tin kecil berbentuk segi empat, Dunhill digunakan untuk menyembunyikan dadah

Suara Sarawak