Mancha (dua kiri) menerima cenderamata dari Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah (dua kanan) sambil disaksikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket.

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak akan meneruskan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam negara memasuki Fasa Peralihan Endemik.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mancha Ata berkata, meskipun tiada SOP terperinci berhubung peralihan tersebut namun pihaknya akan meneruskan pemantaun seperti sedia kala.

“Kita belum lagi terima SOP berkaitan Endemik, kita akan membuat perancangan seterusnya setelah menerima SOP baharu kelak.

“Bagaimanapun, ketika ini pemantaun SOP semasa pandemik dahulu masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Kayuhan Kebajikan 215 KM sempena Peringatan Hari Polis ke-215 di IPD Kuching, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada awal bulan Mac lalu mengumumkan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini.

Katanya, fasa tersebut membolehkan negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Penggunaan pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu namun waktu operasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

Suara Sarawak