KUCHING: Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman mempersoalkan kewajaran cadangan Adun Pending Violet Yong untuk Kerajaan Sarawak menggunakan dana awam bagi penurunan harga bahan api di negeri ini.

Hal ini susulan gesaan Violet dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk kerajaan pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyalurkan subsidi bagi menurunkan harga petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) yang dijual di Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Menurut Fazzrudin yang juga Timbalan Pemuda PBB, harga bahan api di negara ini telah disubsidi oleh Kerajaan Persekutuan, sekali gus membolehkan rakyat menikmati penggunaannya pada harga yang berpatutan.

Tambahnya, sekiranya Kerajaan Sarawak memberi subsidi tambahan menggunakan dana awam, ia akan menelan belanja berbilion ringgit.

“Lebih baik gunakan dana tersebut untuk pembangunan infrastruktur dan ekonomi demi kepentingan bersama, di samping menjaga kebajikan rakyat,” katanya membalas kenyataan yang dikeluarkan Violet berhubung isu harga bahan api di Sarawak.

Ujar Adun Tupong itu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga telah berjuang habis-habisan untuk menegakkan hak terhadap pengenaan Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak lima peratus bagi menebus janji DAP yang katanya hendak mengembalikan 20 peratus royalti minyak.

“Justeru, saya menggesa DAP untuk meredakan retorik mereka… melukis imej seolah-olah mereka yang memperjuangkan hak Sarawak selama ini walaupun sebenarnya tidak melakukan apa-apa untuk membantu,” tegasnya.

Terdahulu, Violet dalam kenyataan berkata bahawa Sarawak mempunyai kawalan penuh untuk mengawal selia minyak dan gas di bawah OMO 1958, justeru keputusan terletak pada kerajaan sama ada menawarkan harga petroleum yang lebih murah atau sebaliknya untuk kegunaan rakyat.

Suara Sarawak