KUCHING: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Sosio-Ekonomi) Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki antara penerima pangkat Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat Askar Wataniah (AW) Sarawak.

Beliau dinaikkan pangkat daripada Kolonel kepada Brigedier Jeneral berkuat kuasa pada 19 Januari tahun ini dan kekal menjawat jawatan sebagai Komander Rejimen 510 AW.

Manakala, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi dianugerahkan tauliah Mejar Kehormat dan dilantik sebagai Ahli Jawatan Kuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Sarawak.

Selain itu, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dianugerahkan tauliah Mejar Kehormat dan dilantik sebagai Ahli Turut Hadir JAKPAW Sarawak.

Sementara, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak, Dr Zaidi Razak dianugerahkan tauliah Mejar Kehormat dan dilantik sebagai Ahli Turut Hadir JAKPAW Sarawak.

Pemakaian pangkat itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd Zain dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Upacara turut disaksikan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa.

Pemakaian pangkat kepada Abu Bakar, Abdullah, Mohd Shibli dan Zaidi telah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong melalui syor Majlis Angkatan Tentera.

Tentera Darat Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan JAKPAW di setiap negeri bagi menggalakkan rakyat menyertai Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP) yang berperanan penting dalam membantu angkatan tetap mempertahankan negara pada waktu darurat atau perang serta dalam operasi keselamatan dalam negeri.

JAKPAW yang merupakan jawatankuasa di peringkat negeri bertujuan merancang semua jenis bantuan kepada ASP seperti kem guna sama dan mempromosikan AW kepada masyarakat.

Penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri, manakala bagi perjawatan pengerusi diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

 

Abang Johari (duduk, dua kiri), Zamrose (duduk, dua kanan), Mardzuki (duduk, kiri) dan Dzulkafli (duduk, kanan) merakamkan gambar dengan (dari kiri) Mohd Shibli, Abu Bakar, Julaihi dan Zaidi.

Suara Sarawak