Gandingan Pandelela, Dhabitah belum memuaskan

KUCHING: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengakui, persiapan bersama gandingan baharunya, Nur Dhabitah Sabri setakat ini masih belum mencapai tahap memuaskan.

Namun atlet kelahiran Sarawak itu yakin gandingan mereka mampu memberikan persembahan terbaik menjelang temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam dijadualkan pada 12 hingga 23 Mei ini.

Justeru, beliau menyeru penyokong untuk turut serta menyaksikan persembahan mereka di kaca televisyen setelah berlangsungnya Sukan SEA itu nanti.

“Memandangkan sekarang ini persiapan kami masih belum sempurna, jadi nantikan saja di kaca TV semasa SEA Games nanti,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.

Tambahnya, beliau kini sedang berada di Kompleks Sukan Negara bagi menjalani latihan sebagai persediaan menjelang temasya kelak.

“Latihan seperti biasa di Bukit Jalil. Saya cuma berharap semoga latihan dan persediaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.

Terdahulu, ketua jurulatih skuad terjun kebangsaan Li Rui mengesahkan Nur Dhabitah dipilih untuk bergandingan bersama Pandelela dalam acara 10m platform seirama wanita di Hanoi.

Gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah sebelum ini pernah memenangi pingat gangsa pada sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia FINA keempat di Windsor, Kanada pada 2017.

LATIHAN… Datuk Pandelela Rinong menjalani latihan di Pusat Akuatik Negara

Suara Sarawak