SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mensasar merampas semula kerusi Parlimen Selangau, Lubok Antu, Julau dan Sri Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata untuk mencapainya, parti komponen GPS perlu bekerjasama dan berada dalam ‘satu perahu’.

“Justeru, kestabilan politik sangat penting dan perpaduan antara kita perlu dijaga serta dipertahankan.

“Disebabkan itu juga, kita mesti meraih kemenangan di semua kawasan Parlimen pada PRU-15,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Majlis Persidangan Tri-Tahunan Ke-5 Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Hotel Kingwood, di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Selangau kini diwakili oleh Baru Bian (Parti Sarawak Bersatu); Julau (Larry Sng – Parti Bangsa Malaysia); Sri Aman (Datuk Masir Kujat – bebas) dan Lubok Antu (Jugah Muyang – bebas).

Menjelas mengenai persediaan GPS untuk PRU-15, Abang Johari berkata sememangnya mereka sudah bersedia.

“Kita tidak tahu bila PRU-15 diadakan tetapi satu perkara yang penting dalam GPS, kita sentiasa bersedia sama seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Persediaan kita tidak perlu diuar-uarkan (kecoh), cukup jalankan kerja diam-diam sahaja supaya rakyat dapat melihat apa yang kita laksanakan,” ujarnya.

BERCAKAP… Abang Johari bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Persidangan Tri-Tahunan Ke-5 Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Hotel Kingwood, di sini hari ini.

Suara Sarawak