KUCHING: Padah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah secara berulang, seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh Hazmi Abdullah, 28, mengaku bersalah selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memiliki dua rekod lampau melibatkan kesalahan yang sama di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada tahun 2020 apabila mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Dia melakukan kesalahan tersebut di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sekitar jam 3 petang pada 3 Oktober 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 C (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun dan tidak lebih daripada tiga sebat.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak