KUCHING: Syarikat penerbangan komersial tempatan dijangka menawarkan kadar tambang yang berpatutan menjelang perayaan Raya-Gawai susulan penambahan kekerapan penerbangan ke negeri ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, pihaknya juga sudah menghantar surat kepada syarikat yang terlibat dengan meminta mereka menawarkan harga tambang yang lebih berpatutan terutamanya menjelang musim perayaan.

“Kami percaya syarikat penerbangan berkenaan akan memberikan maklum balas yang baik susulan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) meluluskan penambahan kekerapan penerbangan ke Sarawak.

“Dalam hal ini, syarikat penerbangan perlu memainkan peranan penting mereka dalam memudahkan pergerakan orang ramai termasuk penghantaran kargo pada kadar yang berpatutan dalam menyokong inisiatif kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu kenaikan tambang penerbangan ke Sarawak semasa musim perayaan yang menyaksikan harga melonjak naik menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Tambahnya, beliau turut difahamkan bahawa syarikat penerbangan akan menawarkan promosi istimewa masa terhad tidak lama lagi untuk perayaan Hari Raya bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak.

Suara Sarawak