Hari bersejarah Swinburne

KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak merekodkan pencapaian penting baharu apabila seramai 408 graduan menerima skrol masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian pada majlis konvokesyen yang dilangsungkan selama tiga hari.

Majlis semalam yang disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap ProCanselornya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyaksikan lima graduan berjaya menerima doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan dan program sains.

Malah, konvokesyen dianjurkan di Hotel Pullman itu juga merupakan yang pertama dijalankan secara bersemuka sejak penularan pandemik Covid-19.

Anugerah turut disampaikan kepada 26 graduan Sarjana Sastera (Tesol), Sarjana Perniagaan (Penyelidikan), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Antarabangsa), Sarjana Pengurusan Pembinaan dan Sarjana Sains (Penyelidikan). Selain itu, 22 graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Multimedia Reka Bentuk) turut menerima skrol masing-masing.

Majlis graduasi fizikal kali ke-21 itu juga menyaksikan siswazah dari seluruh Malaysia, Mesir, India, Indonesia dan Sri Lanka tahun 2020 dan 2021 turut hadir menerima skrol masing-masing.

Terdahulu, pada 23 Mac berlangsung satu lagi majlis konvokesyen untuk 190 graduan Sarjana Muda Perniagaan, manakala sejumlah kepada 129 graduan prasiswazah dalam bidang kejuruteraan bersama 36 prasiswazah daripada Sarjana Muda Sains (Bioteknologi), Sarjana Muda Sains Komputer dan Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Komunikasi menerima anugerah masing-masing yang bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Untuk rekod, Swinburne ialah sebuah universiti Australia yang berpangkalan di Melbourne, Australia serta disenaraikan antara 1.5 peratus universiti terkemuka dunia oleh Kedudukan Universiti Dunia QS 2021.

Kampus di Kuching satusatunya kampus cawangan antarabangsa yang berstatus universiti penuh dengan menawarkan pelbagai kursus berkaitan industri seperti perniagaan, pengkomputeran, reka bentuk, kejuruteraan dan sains di prauniversiti (asas), diploma, ijazah, peringkat sarjana dan PhD.

Suara Sarawak