KUCHING: Walaupun sudah lebih seminggu Allahyarham Yuhanis Abdullah, penghantar makanan yang meninggal dunia dalam kemalangan Mac lalu, pemergiannya masih meninggalkan duka dalam keluarganya.

Ahli keluarganya, Siti Mariam Abdullah, 17, berkata, dia sedih atas kehilangan abangnya, yang merupakan anak sulung dalam keluarga itu. Berkongsi kisah kepada Suara Sarawak, Mariam mendedahkan, dirinya memiliki hubungan amat rapat dengan arwah memandangkan jarak umur mereka berdua hanya dua tahun.

“Saya masih sedih akan kehilangan abang saya sebab kami sangat rapat malah abang juga melayan saya dengan baik.  “Saya tidak menyangka pemergiannya begitu.. saya hanya dapat tahu tentang berita itu ketika berada di sekolah dan orang ramai memaklumkan abang terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di kediamannya, semalam.

Mariam baru selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bersekolah di SMK Tunku Abdul Rahman. Dia berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Manakala bagi ibu Mariam, Nur Jannah Abdullah, dia juga masih berdepan rasa duka atas kehilangan anak tersayang yang merupakan tulang belakang keluarganya selama ini.

Nur Jannah Abdullah

Wajah sugul Jannah kelihatan termenung dan masih terkedu ketika ditanya oleh pemberita tentang pemergian anaknya Mac lalu.  “Saya sangat terkejut dan tidak dapat berkata apa-apa ketika itu.Ada orang kampung memaklumkan anak saya terlibat dalam kemalangan.

“Saya tidak percaya dan apabila saya sampai di tempat kejadian, saya terkejut melihat mayat dan jalannya penuh dengan darah,” katanya sambil menyapu air mata. Nur Jannah turut berkongsi detik terakhir bersama-sama arwah Yuhanis pagi hari kejadian iaitu ketika mereka masih menikmati sarapan pagi.

“Ia satu situasi yang jarang untuk saya lihat.. dia makan bersamasama dengan kami. Jadi setiap kali saya masak mi yang menjadi kegemarannya, dia akan duduk dan menikmati hidangan bersama-sama keluarga,” katanya. Nur Jannah juga akan mengenang kembali bagaimana dia akan menunggu arwah Yuhanis di depan pintu, menunggu dia pulang selepas dia selesai menghantar pesanan makanan.

“Kehilangan Yuhanis tidak boleh digantikan dengan harta dunia dan juga wang. Yuhanis tidak akan kembali, hati saya masih remuk,” tambahnya.

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menyerahkan sumbangan dan bantuan kepada Jannah di kediamannya di Kampung Semariang Pinggir.

Sehubungan itu, Jannah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak kerana menunjukkan sikap prihatin kepada keluarga kerana keluarga tidak pernah menerima sebarang jenis bantuan sebelum ini.

Suara Sarawak