Hayati khazanah adat resam dan budaya
GAMBAR kenangan semua pelajar Kolej Komuniti Kuching di mercu tanda Muzium Budaya Borneo.

KUCHING: Kolej Komuniti Kuching (KKKg) merupakan institut pengajian tinggi awam pertama membuat lawatan rasmi ke Muzium Budaya Borneo.

Timbalan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Dayang Morzanah Awang Haddy berkata, mengikut rekod setakat ini, pelajar kolej itu merupakan kumpulan pelajar terawal yang mengadakan lawatan sambil belajar secara rasmi ke muzium tersebut selepas dirasmikan.

“Sebagai rakyat Sarawak kita seharusnya berbangga kerana Muzium Budaya Borneo Borneo merupakan mercu tanda terbaharu di Sarawak yang terbesar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Program Lawatan Sambil Belajar Pelajar Kolej Komuniti Kuching ke Muzium Budaya Borneo di Auditorium BCM di sini, Sabtu.

Dayang Morzanah turut menggesa golongan muda ini untuk terus menghayati khazanah adat resam dan budaya yang terdapat di muzium.

“Ini kerana melalui muzium, masyarakat dapat mengenal pasti asal usul dan identiti diri sebagai rakyat Sarawak,” tambahnya.

Beliau turut bangga kerana pelajar Kolej Komuniti Kuching datang membuat lawatan untuk mempelajari dan menghayati artifak yang dipamerkan di muzium tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik Kolej Komuniti Kuching Mervin Gumba Sigai berkata, seramai 108 pelajar terlibat dalam program lawatan sambil belajar berkenaan.

“Lawatan ini diadakan sebagai aktiviti interaktif pengajaran dan pembelajaran di bawah Unit Pengajian Am yang diadakan di luar bilik kuliah.

“Kesemua pelajar yang terlibat sedang mengambil subjek Pengajian Malaysia, Pengajian Islam, Pengajian Moral dan Communicative English,” katanya.

Mervin menambah, semua pelajar telah diberi tugasan untuk menghasilkan video blog berkaitan muzium berdasarkan pemahaman dan pengalaman yang dialami sepanjang lawatan tersebut.

Terdahulu, pelajar telah diberikan taklimat berkaitan keselamatan oleh Nurazlin Sazali.

Muzium Budaya Borneo telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada 4 Mac lalu.

Muzium ini mempunyai tiga galeri kekal yang terletak di aras tiga, empat dan lima dengan setiap aras menampilkan jalan cerita yang tersendiri dan mempamerkan koleksi asli muzium.

Ketua Unit Pengajian Am Luke Kenny Doring, semua pensyarah kursus dan pegawai muzium turut hadir.

PELAJAR sedang mendengar mendengar ucapan perasmian di Auditorium Muzium Budaya Borneo.

 

MORZANAH (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mervin.

 

Suara Sarawak