Ibu, anak tubuh kumpulan muzik
T-GA BAND ketika penggambaran video muzik Sedar di salah sebuah
lokasi di Sarikei.

NAMA Kumpulan T-ga Band yang dianggotai tiga pemuzik iaitu Daisy Sebastian Unting selaku vokalis dan ketua kumpulan, Rell (gitar utama) dan Alexander Umar (bass), mungkin agak asing bagi peminat ataupun pendengar industri muzik tempatan, lebih tepat lagi muzik lagu Iban.

T-ga Band ditubuhkan pada tahun 2018, ketika negara mulai berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pengasasnya yang juga vokalis T-ga Band, Daisy Sebastian Unting berkata, kesemua anggota kumpulan muzik ini merupakan gabungan anak-beranak dan berasal dari Pakan.

“Mereka (pemuzik) T-ga Band adalah daripada kalangan anak-anak saya sendiri. Kami bergabung seterusnya menubuhkan kumpulan ini setelah mereka menghabiskan pengajian masing-masing.

 

“Kami membentuk sebuah kumpulan yang diberi nama T-ga Band,” ujarnya yang juga merupakan seorang guru berpengkhususan muzik di SK Nanga Pakan.

• T-ga Band ditubuhkan pada tahun 2018, ketika negara mulai berdepan dengan pandemik Covid-19.

Kata Daisy lagi, objektif penubuhan kumpulan ini bukan sekadar untuk menjadi kumpulan muzik biasa, tetapi sebaliknya mahu suatu hari kelak diangkat dan dikenali untuk mewarnai industri muzik lagu Iban dan tempatan.

“Saya pernah bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan muzik dan nama-nama besar dalam industri muzik Iban sebelum ini.

“Selain menjuarai Pertandingan Battle Of The Band yang diadakan di seluruh Sarawak seperti Pesta Lada, Julau pada tahun 2018, Pesta Pakan (2019), Karnival Kebudayaan Saratok (2019) dan International Bike Week Serian 2019.

“Jadi saya mahu T-ga Band turut dikenali seperti nama-nama besar ini dan menjuarai manamana pertandingan muzik di seluruh Sarawak seperti yang pernah saya lakukan dulu.

“Penubuhan kumpulan ini diharap menjadi satu kenangan terindah buat diri saya apabila sudah bergelar warga emas ataupun sudah bersara dari arena muzik kelak,” katanya.

Ditanya tentang pemilihan nama T-ga Band, Daisy, berkata, ‘T-ga’ itu sebenarnya merujuk kepada jumlah anggota yang hanya tiga orang.

“Band yang juga bermaksud kumpulan.

Jadi, untuk melengkapkan nama, saya tambah perkataan ‘band’ yang merujuk kepada kumpulan muzik.

“Maka, terhasillah nama T-ga Band,” katanya yang juga anak kepada bekas anggota kumpulan muzik The Royalist yang terkenal di Kuching sekitar tahun 1962.

Single sulung

Dalam pada itu, T-ga Band telah pun melahirkan single sulung mereka yang berentak Rock Ballad berjudul Sedar.

“Sedar yang mengisahkan mengenai seorang wanita yang sering dikecewakan oleh teman lelakinya.

“Dan akibat sering dikecewakan, akhirnya membuatkan dirinya mulai sedar bahawa dia menjadi mangsa pembohongan teman lelakinya.

“Selain di corong-corong radio tempatan, lagu Sedar juga boleh didapati di saluran Youtube MZD Production.

“Ia boleh dikatakan sebagai langkah awal T-ga Band bagi mengharungi dunia industri yang serba mencabar ini.

“Sebelum memikirkan langkah seterusnya, memandangkan perjalanan T-ga Band masih lagi jauh dan panjang.

“Jadi, biarlah peminat industri lagu Iban mengenali kami dan lagu kami Sedar terlebih dahulu,” kata Daisy yang juga penulis lirik Sedar.

Lagu Sedar juga berjaya mendapat tontonan sebanyak 3,600 orang di Laman Youtube MZD Production sejak dimuat naik tiga minggu lepas.

 

Suara Sarawak