BERCAKAP… Fatimah bercakap dalam sidang media berhubung isu Kewarganegaraan di Pustaka Negeri Sarawak, dekat sini hari ini. (Foto: ALIF NONI)

KUCHING: Pejabat Premier Sarawak akan mengeluarkan dokumen sementara kepada individu di bawah 21 tahun yang tidak mempunyai status kewarganegaraan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia bertujuan supaya individu ini boleh mendapatkan akses pendidikan dan kemudahan kesihatan.

Bagaimanapun tegasnya, pengeluaran dokumentasi sementara ini hanya bertujuan untuk memudahkan atau membantu individu tanpa status warganegara memohon akses kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan di negeri ini.

“Ia bukan representasi mahupun janji dalam apa cara sekalipun bagi mendapatkan status kewarganegaraan Malaysia,” katanya dalam sidang media di Pustaka Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga sedar individu tanpa dokumen pengenalan diri khususnya kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam mendapatkan akses kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan.

“Akses kepada dua kemudahan tersebut adalah hak asasi manusia dan tiada siapa boleh merampasnya.

“Justeru, walaupun kuasa memberikan kerakyatan Malaysia terletak pada Kerajaan Persekutuan, Kabinet Negeri telah memutuskan untuk memberikan apa sahaja bentuk bantuan dalam bidang kuasanya kepada mereka yang kurang bernasib baik ini,” ujarnya.

Suara Sarawak