KUCHING: Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyambut baik langkah kerajaan Sarawak untuk mengeluarkan dokumen sementara kepada individu di bawah 21 tahun yang tidak mempunyai status kewarganegaraan di negeri ini.

Demikian kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan itu yang menyokong cadangan yang dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah Sabtu lalu.

Katanya, langkah tersebut merupakan salah satu berita baik khasnya buat individu di bawah 21 tahun yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah di negeri ini.

“Kerajaan Sarawak begitu prihatin dengan nasib anak-anak yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah di negeri ini.

“Justeru, saya amat mengalu-alukan dan menyokong usaha kerajaan ini kerana ia merupakan satu usaha yang sangat baik,” katanya.

Hasidah menekankan bahawa beliau akan sentiasa menyokong setiap usaha kerajaan yang membantu kanak-kanak tanpa kerakyatan agar mereka mendapat akses kepada pendidikan.

Hasidah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan dan mengagihkan bubur lambuk anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Semariang dengan kerjasama beliawanis, bertempat di Masjid Darul Ibadah, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Datuk Seri Fatimah Abdullah mendedahkan Pejabat Premier Sarawak akan mengeluarkan dokumen sementara kepada individu di bawah 21 tahun yang tidak mempunyai status kewarganegaraan di negeri ini yang bertujuan supaya individu ini boleh mendapatkan akses pendidikan dan kemudahan kesihatan.

Bagaimanapun tegasnya, pengeluaran dokumentasi sementara ini hanya bertujuan untuk memudahkan atau membantu individu tanpa status warganegara memohon akses kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan di negeri ini.

Simbolik… Hasidah menyerahkan pek bubur lambuk kepada salah seorang penerima, di sini, hari ini

Suara Sarawak