SIMBOLIK… Fazzrudin (tiga kiri) menyempurnakan simbolik perasmian Projek Rakyat – Bina Baharu Jalan Penghubung Lorong Astana 11 ke Jalan Merdeka di Lorong Astana, hari ini.

KUCHING: Perjalanan dari Jalan Merdeka menuju ke Jalan Astana kini hanya memakan masa kira-kira satu minit susulan siapnya pembinaan jalan penghubung baharu, di sini.

Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, dahulu jika menggunakan jalan lama jarak perjalanan akan memakan masa kira-kira 10 minit.

Menurutnya, pembinaan jalan penghubung baharu yang sepanjang satu kilometer terletak di Jalan Astana 11 itu telah dimulakan pada 1 Jan 2021 dan siap pada 19 Mac lalu.

“Projek ini dengan menggunakan peruntukan keseluruhan lebih RM2 juta termasuk kos pembinaan dan pengambilan tanah.

“Justeru, saya juga berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kerana telah mengusahakan projek ini yang kini dapat dibuka untuk kegunaan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan simbolik perasmian Projek Rakyat-Bina Baharu Jalan Penghubung Lorong Astana 11 ke Jalan Merdeka di Lorong Astana 11, Jalan Astana dekat sini, hari ini.

“Jika jalan tersebut tidak ada, pengguna juga terpaksa melalui Jalan Kampung Lintang untuk ke sini (Jalan Astana 11),” ujarnya.

Suara Sarawak