KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melancarkan Op Raya Bomba di seluruh negara mulai 27 April ini sempena musim perayaan yang akan datang.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, operasi kali ini akan memfokuskan kepada tiga aspek keselamatan termasuk keselamatan kebakaran di bangunan komersial dan rumah kediaman; keselamatan lalu lintas jalan raya; dan keselamatan air.

Untuk keselamatan kebakaran katanya, JBPM akan meneruskan kempen berterusan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai, di samping mempergiatkan usaha pemeriksaan bangunan.

“Kami akan menjalankan lebih banyak pemeriksaan bagi memastikan semua bangunan mematuhi peraturan. Kami juga akan menjalankan pemeriksaan rutin untuk membantu pengurus bangunan dari segi penyelenggaraan bangunan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menekankan kepada aspek kebakaran ini juga, beliau menyatakan bahawa aktiviti bertuntung iaitu memasang lampu minyak tanah atau lampu elektrik semasa perayaan juga menjadi antara aktiviti yang akan menjadi perhatian pihaknya.

SIDANG MEDIA…Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Ujarnya aktiviti ini kemungkinan akan membawa risiko kebakaran dan individu yang bercadang untuk melakukannya perlu bersedia mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan risiko ini daripada berlaku.

Berhubung keselamatan jalan raya pula, beliau berkata jabatan itu akan bekerjasama dengan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menjalankan rondaan di lebuh raya, jalan perbandaran serta jalan persekutuan.

“Kita juga akan memberi bantuan dari segi tindak balas dan membantu pengguna jalan raya yang memerlukan kerana kita menjangkakan banyak pergerakan kenderaan di lebuh raya dan jalan lain pada musim perayaan berikutan kurang sekatan ketika negara menuju ke fasa endemik,” tegasnya.

Selain itu, beliau juga berkata hanya 20 peratus kakitangan Bomba akan dibenarkan bercuti semasa Hari Raya.

“80 peratus daripada 13,500 kakitangan kami akan bertugas semasa musim perayaan. Semua aset kami termasuk aset darat, marin dan udara juga bersedia untuk digunakan sekiranya berlaku kecemasan,” tambahnya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Sarawak melibatkan 95 penerima dan turut dihadiri Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman Hussaini.

BANGGA…anggota Bomba yang menerima anugerah cemerlang yang disampaikan  di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021

Suara Sarawak