KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanakkanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) komited dalam usaha membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjejaki 100 pemilik surat pemakluman berhubung status kewarganegaraan di bawah Perkara 15A melibatkan pemohon dari negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata KDN telah memberitahu mereka bahawa masih terdapat surat pemakluman dengan jumlah tersebut yang masih belum dituntut.

“Perkara itu juga berlaku kerana isu alamat (berpindah dari alamat yang digunakan semasa memohon), nombor telefon pemohon telah bertukar, akses kepada perkhidmatan pos atau kurier susulan masalah geografi dan sebagainya,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak mengenai surat pemakluman yang belum dituntut di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini pada Isnin.

Terdahulu, mesyuarat tersebut diadakan adalah untuk membantu KDN bagi menjejaki kanak-kanak yang telah berjaya dianugerahkan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dengan bantuan pegawai-pegawai daerah; ketua masyarakat dan ketua kaum kawasan; pertubuhan-pertubuhan etnik; dan pihak yang berkaitan.

Selain itu, mengikut statistik KDN terdapat 100 permohonan belum mengambil surat pemakluman mereka dan ia juga melibatkan 12 bahagian dan 28 daerah pentadbiran. Dalam hal berkaitan, Fatimah memaklumkan isu dokumen pengenalan diri adalah salah satu daripada isu sosial utama yang diberi fokus oleh KPWK melalui Majlis Pembangunan Sosial.

“Justeru, saya terpanggil untuk memastikan agar kanak-kanak yang sudah dilulus dengan anugerah kewarganegaraan oleh YB Menteri Dalam Negeri Malaysia dimaklumkan dan mendapatkan dokumen-dokumen mereka di JPN yang terdekat.

“Isu sosial seperti masalah dokumen pengenalan diri sangat rumit dan kompleks untuk ditangani secara berseorangan. Justeru, kolaborasi, kerjasama dan penyelarasan strategik di antara ahli-ahli yang hadir, tidak kira agensiagensi Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan; institusi-institusi swasta; NGO; dan kepimpinan di peringkat akar umbi sangat diperlukan demi kesejahteraan komuniti di Sarawak,” tegasnya.

Beliau memberitahu, mereka juga telah membantu menyusun dengan lebih teratur senarai nama yang diberikan oleh KDN berhubung dengan maklumat pemohon yang terlibat.

“Ini adalah langkah pertama yang kami lakukan menyenaraikan semula maklumat pemilik surat pemakluman itu termasuk nama, alamat, mengenal pasti mereka di daerah mana dan sebagainya,” ujar beliau. Menjelas lanjut, kata Fatimah usaha sedemikian dilakukan adalah kerana pihaknya ingin membantu memudahkan urusan kerana jika meminta pemilik surat menuntutnya ke Putrajaya itu akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk dari segi kos dan sebagainya.

“Selepas kita berjaya menjejaki mereka ini kelak, individu yang terlibat akan mengisi satu borang yang telah ditetapkan oleh KDN untuk menyatakan di mana JPN terdekat dengan mereka bagi urusan tuntutan surat keputusan.

Tetapi 100 ini adalah mereka yang sudah lulus.  “Ini adalah apa yang kita usahakan untuk membantu menjejaki mereka ini sekali gus memudahkan atau mempercepatkan lagi proses permohonan status kewarganegaraan  tersebut,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Fatimah juga memaklumkan sekiranya permohonan memakan masa yang sangat lama tidak dinafikan bahawa ia memberikan kesan kepada pendidikan seseorang dan peluang untuk mereka mendapatkan pekerjaan.

“Perkara sedemikian juga yang menyebabkan Kerajaan Sarawak tampil dengan inisiatif untuk mengeluarkan dokumen sementara supaya individu tanpa kewarganegaraan (21 tahun ke bawah) mendapatkan akses kemudahan pendidikan dan kesihatan,” tegasnya.

Suara Sarawak