KUCHING: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menegaskan siasatan lanjut berhubung kes projek jeti bernilai RM50,000 di Kampung Mutab, Miri masih berjalan sebelum keputusan akhir dimuktamadkan oleh Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Pengarahnya, Zaki Hassan berkata, perkembangan setakat ini adalah seperti kenyataan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat SPRM tempoh hari yang menyatakan projek tersebut tidak mempunyai unsur rasuah.

Pengarah SPRM Sarawak, Zaki Hassan

Jelasnya, hasil pemeriksaan awal oleh pasukan SPRM memang membuktikan pembinaan jeti menggunakan kayu belian seperti kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Isu jeti sudah termasuk dalam kategori tumpuan awam. Apa yang boleh katakan setakat ini siasatan lanjut belum selesai.

“Setakat siasatan dan kenyataan awal, ia memang menggunakan kayu belian. Jadi kita akan periksa semula, untuk menentukannya dan ia perlukan pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai menyerahkan sumbangan bubur lambuk kepada masyarakat di Kampung Patingan, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu menyokong kenyataan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bahawa kepentingan kes seperti itu memerlukan kerjasama Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat untuk memerhati sekiranya terdapat sebarang kecurigaan.

Suara Sarawak