Fatimah (kanan) menghulurkan sumbangan kepada ayah tiri Arwah Yuhanis

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti komited untuk membantu keluarga Allahyarham Yuhanis Abdullah yang meninggal dunia dalam kemalangan 29 Mac lalu.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, menerusi maklumat yang diterima, Allahyarham termasuk adik dan ibunya sehingga kini tidak memiliki status kewarganegaraan yang sah.

Kisah ini telah banyak dibangkitkan oleh orang awam dalam media massa iaitu setelah Abang kandung kepada Siti Mariam iaitu Allahyarham Yuhanis Abdullah (penghantar makanan Foodpanda) meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Sultan Tengah pada 29 Mac lalu.

“Jesteru, kementerian saya dan JKM sedia membantu adik kepada arwah, Siti Mariam Abdullah, 17 tahun, untuk mendapatkan status warganegara di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah keluarga Yuhanis Abdullah di Kampung Semariang Pinggir, dekat sini, pagi tadi.

Menjelas lanjut kata Fatimah, Mariam tidak mempunyai taraf kewarganegaraan ekoran ibunya tidak mempunyai dokumen perkahwinan yang lengkap walaupun berkahwin dengan rakyat Malaysia.

“Disebabkan ayah kepada Mariam ini sudah meninggal dunia, kita perlu mencari penjaganya untuk memohon kewarganegaraan…Kita dapati ibu Mariam sudah berkahwin baru, dan perkahwinannya teratur kali ini.

“Ini bermaksud bapa tiri Mariam (Muslimon Sulaiman, 57) yang warganegara Malaysia mempunyai peluang untuk memohon status kewarganegaraan bagi Mariam,” katanya.

Apabila mahkamah telah memberi perintah bahawa Muslimon adalah penjaga Mariam katanya, bapa tiri Mariam ini mempunyai kuasa untuk memohon kewarganegaraan bagi anak tirinya.

Fatimah mendakwa Mariam perlu diberi status kewarganegaraan sebab dari segi pendidikan dia berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.

“Namun, jika nanti dia berubah fikiran untuk bekerja, kerja yang dipohon juga amat terhad, sebab banyak kerja adalah khas untuk warganegara Malaysia.

“Justeru, ini adalah usaha yang akan dilakukan pihak kementerian, JKM dan JPN selepas ini,” tegasnya.

Selain itu bagi isu ibu kepada arwah Yuhanis iaitu Nurjannah Abdullah, Fatimah menasihati ibunya untuk memohon Permit Masuk terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen setiap sebulan sekali sehingga tempoh dua tahun.

Jelas beliau, selepas tempoh dua tahun itu, Nur Jannah boleh memohon status kewarganegaraan dibawah Perkara 15(1) iaitu isteri kepada warganegara Malaysia.

Dalam kunjungan tersebut, Fatimah telah menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai dan sumbangan makanan kepada keluarga Allahyarham Yuhanis.

Selain itu, JKM Sarawak juga telah memperuntukkan RM300 sebulan kepada keluarga itu bagi menampung perbelanjaan mereka setiap bulan.

Hadir sama, pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad.

Suara Sarawak