BETONG: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan menyalurkan bantuan berjumlah RM70,900 kepada mangsa bencana kebakaran Rumah Panjang August Jampi, Ban Ulu.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam berkata, ia bagi meringankan beban mangsa yang tinggal sehelai sepinggang akibat tragedi kebakaran pada 12 April lalu.

“Ia melibatkan pemberian wang saku sebanyak RM3,000, pakaian harian RM3,000, makanan kering RM1,500, peralatan dapur RM4,900 dan pakaian serta peralatan sekolah bernilai RM900.

“Manakala, perbelanjaan terbesar adalah sebanyak RM55,000 bagi bahan binaan dan sewaan.

“Kita juga menyampaikan kutipan Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM2,100,” katanya.

Adun Saribas itu berkata demikian semasa menyantuni mangsa bencana di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Panglima Rentap, hari ini.

Beliau menambah, bagi membina baharu rumah panjang seperti dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, mereka layak untuk Bantuan Khas Kebakaran.

“Kerajaan Sarawak ada menyediakan RM70,000 sepintu untuk bantuan bina baharu, yang akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong.

“Saya berharap tindakan segera dapat diatur bagi memastikan mangsa dapat membina kediaman baharu,” ujarnya.

SYUKUR… Razi Sitam, Noriah Ahmad serta pasukan kebajikan bergambar kenangan bersama-sama ketua isi rumah yang menerima bantuan masing-masing di Dewan Panglima Rentap, hari ini.

Suara Sarawak