PADAWAN: Orang ramai terutamanya peniaga disarankan menyertai kempen kitar semula minyak masak terpakai (UCO) dengan menjualnya kepada syarikat berkaitan secara lebih aktif bagi mengurangkan risiko pencemaran longkang di kawasan Kota Padawan.

Usaha terbabit antara yang dipromosikan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) sempena kempen kesedaran Hari Kesihatan Sedunia 2022 disamping menggalakkan peniaga untuk merendam sudu dan garpu ke dalam air panas; dan ‘Katakan Tidak’ terhadap pembungkusan polisterin.

Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang berkata, isu pembuangan UCO ke dalam sistem perparitan menjadi antara punca utama berlakunya pencemaran air di kawasan Kota Padawan.

“Justeru, tabiat membuang sesuka hati itu perlu diubah kepada usaha memulihara ekosistem air dengan menjual semula minyak tersebut sekali gus mampu memberi sedikit pendapatan.

“Minyak masak terpakai ini mampu memberikan pulangan kos antara RM2.50 ke RM3 satu kilogram (kg) sekiranya dijual untuk dikitar semula, manakala satu tan boleh mencecah sekitar RM2,000,” katanya.

PROMOSI….Lo Khere Chiang (dua dari kanan) memberi penerangan Kempen Kesedaran Promosi Hari Kesihatan Sedunia 2022 kepada salah seorang peniaga di kawasan Batu 10 Kota Padawan

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Pelancaran Kempen Promosi Hari Kesihatan Sedunia selepas lawatan ke premis perniagaan di Batu 10, Kota Padawan, di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, setakat Januari hingga Mac 2022, sebanyak 30,118.10 kg UCO telah berjaya dikumpul dengan menyaksikan sejumlah 753 premis terlibat dalam usaha tersebut.

Manakala bagi tahun 2021, UCO terkumpul sebanyak 67,995.30 kg dengan sejumlah 2062 buah premis terlibat di Kota Padawan.

SERTA…Wakil MPP Padawan diketuai Lo Khere Chiang (dua dari kiri hadapan) turun padang bagi memberi kesedaran Hari Kesihatan Dunia 2022 kepada masyarakat sekitar Padawan

Suara Sarawak