Anggota bomba menemui mangsa di bawah timbunan zink di kawasan rumah berkenaan.

MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Masjid, Kuala Baram, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 12 tahun itu ditemui di bawah timbunan zink di kawasan rumah oleh anggota bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 4.59 petang.

Katanya, seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dibantu lapan anggota BBP Miri digerakkan ke lokasi kejadian.

“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal terbakar 100 peratus.

“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran 300 kaki, dua dividing breeching dua pancutan dan dua aliran hose reel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian turut mengakibatkan seorang lelaki, 50, melecur 30 peratus di bahagian bahagian belakang badan.

Sementara katanya, enam mangsa yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 6.21 petang,” jelasnya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Suara Sarawak