SIDANG MEDIA… Duta Khas Perdana Menteri Ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan merangkap Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot ketika Program Berambeh Sungkey di Surau Darul Taqwa Kampung Hulu Serian, malam tadi. (Ghazali Bujang)

SERIAN: Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem yakin keadaan politik di Malaysia akan kembali stabil selepas Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) dilaksanakan nanti.

Beliau mendakwa, tempoh empat tahun ini jelas menunjukkan keadaan politik yang kucar-kacir termasuk pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam tempoh satu penggal, lompat parti dan sebagainya.

“Keadaan ini sudah tentu membuatkan rakyat jemu dengan situasi yang berlaku.

“Justeru, saya percaya kestabilan politik akan dapat dikembalikan selepas selesai Pru-15 yang akan diadakan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu wartawan selepas tamat program Berambeh Sungkei Serian 2022 di Surau Darul Taqwa, Kampung Hulu, di sini, malam tadi.

Riot yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur berkata keyakinan tersebut adalah berdasarkan pengalaman beliau lebih 30 tahun sebagai ahli politik dan tujuh penggal menjadi Ahli Parlimen.

Sementara itu katanya, Undang-undang Anti Lompat Parti juga dijangka boleh menjadi penyelesaian kepada ketidakstabilan politik yang berlaku jika berjaya dibentangkan.

“Bagaimanapun, undang-undang tersebut belum boleh dibawa untuk dibentangkan di Parlimen kerana terdapat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut tentang kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

“Oleh itu, mesyuarat pada Isnin (11 April) ini sangat penting untuk membahas tentang Perkara 10 yang terdapat dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama yakin kesemua 18 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberikan sokongan terhadap pembentangan tersebut.

Suara Sarawak